المقدِّمة

MUQADDIMAH

بسم اللــه الرحمــن الــرحيم


Maha suci Allah yang menciptakan seluruh alam dengan kebesaran-Nya. Yang juga menciptakan malam dan siang, kehidupan dan kematian, permulaan dan pengakhiran dan menjadikan segala yang ghaib dan syahadah. Dia jugalah yang mentadbir setiap sudut alam dunia dan akhirat dengan sebaik-baik pentadbiran dan Dialah yang memberi hidayah kepada makhluknya untuk terus bernafas di atas muka bumi ini dalam landasan Islam yang haq untuk menjalani kehidupan sebagai seorang muslim sejati serta sebagai seorang hamba yang patuh atas suruhan tuhan.

Di dalam kehidupan, manusia sentiasa mengejar kedamaian dan ketenangan untuk memuaskan hati dan diri mereka sama ada ketenangan tersebut selari dengan jalan yang direstui Allah ataupun tidak. Mengharungi arus dunia yang penuh pancaroba ini amatlah sukar bagi mereka yang benar-benar mencari redha-Nya. Sebagai seorang mukmin, kita perlulah mengisi jiwa kita dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah agar tidak menyimpang dari jalan-Nya.

Lantas dipilih Rasulullah S.A.W. sebagai utusan terakhir yang membawa wahyu terindah buat umatnya iaitu al-Quranul Karim. Bukan sekadar sebuah kitab yang disusun rapi isinya dan diganjarkan pahala kepada pembacanya, bahkan Kalam Allah ini berkekalan dan tidak ada yang mampu mencacat-celakan mahupun mengubahnya walaupun satu ayat sehingga Hari Akhirat.
Al-Quran menjadi petunjuk kepada umat manusia dan seluruh isi alam ini ke jalan yang benar. Keistimewaan yang tiada tandingannya yang Allah berikan kepada manusia iaitu menerima wahyu al-quran ini dan tidak diberikan kepada makhluk yang lain. "Jikalau kami turunkan al-Quran ini ke atas gunung ganang, nescaya kamu akan lihat gunung-ganang itu rebah dan terbelah kerana takutkan Allah". Demikian dalil yang membuktikan kelebihan manusia sebagai khalifah di Bumi ini.

Al-Quran telah menggambarkan keperibadian seorang manusia yang terhebat di muka bumi ini iaitu Nabi Muhammad S.A.W dan kehebatan Rasulullah diakui oleh semua bangsa dan agama di dunia. Maka sesiapa yang percaya dengan keagungannya, mengikuti ajarannya, mentaati hukum-hakamnya, beramal dengan kandungannya maka dia layak mengikuti jejak langkah Rasulullah sebagai manusia teragung di bumi ini.

Semoga kita semua beroleh keredhaan Allah dari keberkatan Al-Quran. Semoga Al-Quran juga memberi kita petunjuk dalam mencari jalan menuju kepada keredhaan Allah. Amin…